TOPIC

Sunday 15 August 2010

Hukum Wanita Menyentuh dan Membaca Al-quran Ketika Haid

Persoalan wanita haid membaca al-quran.
 
[A] Pendapat Yang Melarang Sentuh dan Baca

Ada pendapat mengqiyaskan keadaan perempuan haid sama seperti keadaan berjunub. Selain itu pendapat yang mengharamkan turut menyandarkannya pada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (al-Mutatahharun). [al-Waqiah 56:79]

Dan juga berdasarkan hadis-hadis antaranya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci. [ Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82. Dinukil daripada buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa.]

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Tidak boleh membaca sesuatu ayat Al-Quran bagi orang junub dan tidak pula perempuan-perempuan haid. [Hadis daripada Ibnu Umar. Diriwayatkan at-Tirmidzi;Ibn Majah dan al-Baihaqi. Dikeluarkan oleh Imam an-Nasa'I di dalam Sunannya no.588 dan at-Termidzi didalam sunanya no.121). Lihat juga Fiqh Syafii, jilid 1, Haji Idris Ahmad S.H.]

[B] Pendapat Yang Membolehkan

Berpegang kepada kaedah bahawa perempuan yang haid boleh melakukan apa sahaja kecuali terdapat dalil qath’I (tepat) melarangnya. Terdapat dalil-dalil jelas melarang perempuan haid bersolat, bersetubuh, berpuasa dan melakukan tawaf. Namun tidak terdapat dalil jelas melarang perempuan haid daripada menyentuh dan membaca al-Quran.

Kelemahan Dalil Yang Melarang

1. Tidak boleh diqiyaskan keadaan haid dengan keadaan junub.

a. Qiyas hanya untuk mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di zaman turunya wahyu. Perkara baru yang wujud selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (tiada pada zaman Nabi), maka disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Manakala haid bukanlah perkara baru. Haid sememangnya wujud zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh dan membaca al-Quran maka tidak perlu diwujudkan larangan tersebut.

b. Haid dan junub adalah dua perkara berbeza. Seseorang yang berada dalam keadaan junub boleh membuat pilihan samada untuk berada dalam keadaan junub ataupun tidak. Boleh juga memilih untuk keluar daripadanya (dengan mandi wajib) pada bila-bila masa. Sedangkan haid bermula dan berakhir tanpa pilihan. [ Lihat juga Fiqh Perundangan Islam, Dr. Wahbah Zuhaili (bab perbezaan atara haid dan junub), DBP, JIL. 1, ms.451]

2. Al-Mutatahharun di dalam Surah al-Waqiah, ayat 79 merujuk kepada Malaikat. [Al-`Awfi meriwayatkan daripada Ibn `Abbas, Tafsir Ibnu Kathir (Allah Bersumpah Keatas Kehebatan Al-Quran)]

Seperti mana dapat dilihat pada keseluruhan ayat:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci. Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan [Dar al-Fikr, Beirut 1999, riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.]

3. Perkataan ‘suci’ (al-Taharun) di dalam hadis “Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.” memiliki banyak makna.

Mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut. [Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Hafiz Fidaus Abdullah, Jahabersa]

Perkataan suci tersebut boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing.

4. Kelemahan Hadis “Tidak boleh membaca sesuatu ayat Al-Quran bagi orang junub dan tidak pula perempuan-perempuan haid.”

Hadis ini dhaif kerana perawinya yang bernama Ismail bin 'Ayasy, ia dipercayai oleh penduduk Syam (Syria) tapi dha'if di sisi ahli Hadith di Iraq dan Madinah-Mekah. [al-Mubarakfoori, Tuhfah al-Ahwadzii].

Berkata Imam al-Nawawi r.h:

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
[Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).]


Hadis tersebut memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dhaif. Sheikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain. Beliau juga mengatakan hadis-hadis dalam bab orang junub/haidh tidak boleh membaca al-Quran semuanya tidak sah dijadikan dalil termasuk hadith Ibn Umar ini. [Tamam alMinnah].

Dr. Yusuf al-Qardhawi juga berpendapat hadith ini juga adalah dhaif dan tidak sah dijadikan dalil. [Fiqh Thaharah, Maktabah wahbah, ms. 242]


Kesimpulan

Pendapat B lebih rajih (jelas), pendapat ini turut disokong oleh Imam As-Syaukani. Selain itu ia juga praktikal. Allah telah berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Individu Muslim yang bertakwa memerlukan al-Quran sebagai petunjuk dan panduan, ini tentunya merangkumi setiap masa dan keadaan termasuklah ketika haid. Maka dengan itu al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh maupun membaca al-Quran ketika haid.Walaubagaimanapun, untuk mengambil jalan tengah kita boleh menggunakan al-quran yang mempunyai  terjemahan sebagai alternatif.


Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.[al-Isra' 17:36]
 

1 comment:

  1. salam ramadhan kak miya..ada blog juge ye,suhana follow k..semoga ramadhan dirantau org sana ditempuhi dgn lebih sabar & tabah...

    ReplyDelete